Monday, July 14, 2008

Pesona Seorang Jejaka

Kepingan-kepingan kain ini dijadikan pakaian bagi menghidupkan jiwa luhur lelaki.
GAYA, mutu, keunggulan. Satu slogan yang cukup mesra di pendengaran. Melambangkan ketinggian prestij jenama dunhill dalam keterampilan jejaka.
Sejak tahun 1893, dunhill sentiasa berbangga kerana menghasilkan produk-produk tempahan khas berasaskan permintaan para pelanggannya. Dengan itu, ia boleh memastikan segenap kehendak mereka dapat dipuaskan.
Hari ini, keadaan itu masih berterusan. Khidmat tempahan menjahit dunhill yang telah dimulakan sejak tahun 2003, mempamerkan keunggulan kerja-kerja jahitan.
Dengan seleksi 250 kain terhalus Britain dan Itali serta aneka pilihan siluet, dunhill bersedia menghasilkan sut, jaket, seluar mahupun kemeja yang dapat disesuaikan dengan sebarang gaya, mood dan majlis m engikut tempahan.
Terbina sekitar lambang House, iaitu blok sut St. James, ia diinspirasikan daripada sut Savile Row yang arketip dengan beberapa ciri lazim sentuhan dunhill.
POTONGAN yang lebih langsing didefinisikan oleh pinggang yang ramping, dada yang bidang dan bahu yang tirus.
Potongan yang nampak lebih langsing didefinisikan oleh pinggang yang ramping, dada yang bidang dan bahu yang tirus. Oleh kerana itu, menyuntik elemen moden dalam jahitan tradisi yang mengagumkan.
Setiap sut melalui 165 operasi berasingan yang teliti, dilakukan oleh pakar-pakar dunhill, dengan kira-kira 200 kepingan tunggal bersatu membentuk sehelai jaket. Setiap jaket dibina menggunakan bahagian depan kanvas terapung, maka ia sentiasa 'berbentuk' pada saban waktu.
Bagi musim bunga/panas 2008, dunhill menawarkan inspirasi berasaskan koleksi pakaian lelaki dunhill bermusim. Berdasarkan kepercayaan bahawa kepingan-kepingan kain 'kegemaran' yang bersifat bergaya namun terlestari, pakaian-pakaian ini dibuat bagi menghidupkan jiwa luhur lelaki.
Tidak meminggirkan unsur aktif dan sentiasa bergerak, dunhill terus mendapatkan khidmat kilang-kilang terbaik di Itali dan Britain secara eksklusif. Ia bagi menyajikan tenunan pintalan tinggi dengan ketahanan semula jadi yang mengagumkan beserta kejituan pemulihan.
Rangkaian 110 fabrik yang menawarkan keutuhan terunggul namun amat ringan dan kemasan mudah membolehkan ia sesuai dipakai dalam tekanan panas bilik mesyuarat mahupun dalam parti taman.
Rangkaian 150 fabrik yang diadun cantik pula menyediakan gabungan ciri kemewahan gaya dengan kain bebenang bulu yang amat halus. Digunakan sebagai alternatif, sut formal ini termasuklah kelabu terang pic dan gaya pic, tona kelabu dengan jalur-jalur bebayang putih, jalur silang pangkah campuran kain bulu dan sutera serta hitam-putih Prince of Wales.
Sut klasik tapi moden boleh didapati pada ciri aneka fabrik pinstripe tradisional atau blok hitam. Gemerlapan sutera pula memberi efek pada sut tunggal tiga butang campuran sutera dan kapas mencetus sisi moden.
Jaket bertindan didatangkan dalam tekstur jalur warna lazim mana jaket tak bertindan didapati dalam warna biru muda dengan kain jalur kedut, fabrik tekstur kosong campuran bulu/linen/sutera atau retro berbelak.
FABRIK yang bersesuaian dengan pelbagai aktiviti.
Untuk kemeja pula, dunhill cukup terkenal dengan pembuatan pakaian itu yang menawarkan tujuh pilihan kolar, empat pilihan pergelangan tangan dan aneka pilihan bahagian depan dan kelepet.
Terbaru untuk musim bunga/panas ialah kemeja bertenunan putih piquet yang segar dan cantik, fabrik biru bayu diraja juga kapas poplin yang popular. Juga fabrik yang boleh didapati dalam warna putih dengan jalur merah jambu, putih dengan jalur berganda biru atau biru sejati dengan jalur putih.
Dalam masa enam minggu, pakaian yang ditempah dapat disiapkan. Meneruskan apresiasi mereka terhadap gaya hidup jejaka yang selalu bertugas di merata tempat, dunhill terus menyimpan data ukuran badan mereka di dalam fail. Maka, untuk pakaian yang seterusnya mereka boleh terus menghubungi dunhill memadai dengan telefon bimbit atau Blackberry.

No comments: